Melaka selamatkan hampir 3 tan lebihan makanan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PENGKALAN BATU 29 Mac – Hampir tiga tan makanan dan minuman yang tidak habis dijual peniaga bazar Ramadan di Negeri Melaka berjaya diselamatkan dalam tempoh 11 hari.

Kejayaan itu hasil pelaksanaan program My Save Food@Ramadan 2024 anjuran Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Pemuda Gema Melaka dan sukarelawan institusi pengajian bermula 18 Mac lalu.

Pengarah SWCorp Negeri Melaka Nor Zaki Md Nor berkata, program tersebut menyasarkan tiga bazar Ramadan di negeri Melaka iaitu Bazar Ramadan Peringgit, Bazar Ramadan Jasin Bistari dan Bazar Ramadan Alor Gajah.

Jelas beliau, setakat 11 hari pelaksanaan program itu, sejumlah 2,870 kilogram (kg) lebihan makanan telah berjaya diselamatkan dengan jumlah tertinggi ialah di Bazar Ramadan Peringgit iaitu sebanyak 1,480kg.

“Ia diikuti Bazar Ramadan Alor Gajah sebanyak 1,010kg dan Bazar Ramadan Jasin Bistari dengan lebihan makanan berjumlah 380kg.

“Lebihan makanan ini membabitkan kategori kuih-muih; nasi berlauk; aneka nasi, mi, kuetiau bergoreng; makanan berkuah; makanan bergoreng dan bakar; ‘side dish’ sepert martanak, roti jala dan kebab; makanan barat serta lain-lain.

“Kesemua makanan tersebut kemudiannya disumbangkan kepada golongan yang memerlukan terutamanya kepada pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita pada Walkabout Bazar Ramadan Peringgit Sempena Kempen My Save Food@Ramadan 2024, semalam.

Menurut Nor Zaki, impak daripada pelaksanaan program tersebut, ia berupaya mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan di negeri ini.

“Objektif utama kempen ini adalah untuk menyeru rakyat agar meminimumkan pembaziran makanan dan penjanaan sisa makanan sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

“Ini kerana hasil kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan pada 2023 mendapati 35.45 peratus sisa yang dihantar ke tapak pelupusan ialah sisa makanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

228
Kongsi :
Previous post Program Care IPT TAPEM bantu 90,626 anak Melaka
Next post Kandungan provokatif di media sosial meningkat – MCMC
Ubah saiz-+=