Projek atasi hakisan dimulakan hujung Februari

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 2 Feb. – Selepas enam bulan hakisan pantai mengancam industri pelancongan di Pantai Puteri, di sini, dan empat kampung nelayan di daerah Alor Gajah, usaha mengatasinya dengan membina tembok penahan ombak akan dimulakan hujung bulan ini.

Projek pembinaan bernilai RM3 juta bagi mengatasi hakisan pantai itu akan dilaksanakan di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini dan di pantai Kampung Kuala Linggi, Kampung Tengah, Kampung Hilir dan Kampung Telok Gong.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah menjelaskan, sebut harga projek berkenaan ditutup Rabu lalu dan sekarang dalam proses penilaian pemberian kontrak pelaksanaan kerja.

“Kerja itu membabitkan pembinaan tembok penahan ombak yang menggunakan kaedah batu lapis lindung dan bukan benteng pemecah ombak yang pernah dibina di beberapa pantai lain yang mengalami
hakisan sebelum ini.

“Dijangka kerja pembinaan dimulakan hujung bulan ini membabitkan tempoh selama sebulan atau lebih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hakisan pantai mengancam balai raya dan TABIKA KEMAS di Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Pantai berkenaan mengalami hakisan serius sejak Julai lalu berikutan angin dari arah selatan menyebabkan ombak menghakis pantai dan mengancam pantai peranginan dan kampung nelayan.

Di Pantai Puteri contohnya, hakisan mengancam Menara Tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan di pantai Kampung Kuala Linggi, ia mengancam rumah nelayan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, berkata projek itu menyelamatkan industri pelancongan di Pantai Puteri yang diancam hakisan serius sejak Julai lalu.

“Alhamdulillah, saya amat berharap kerja itu segera dilaksanakan kerana selama ini hakisan pantai menyebabkan puluhan pokok ru di tepi pantai tumbang dan menjejaskan pemandangan indah di pantai itu,” katanya.

Nelayan di Kampung Telok Gong, Mohd Reza Sedek, 47, menyambut baik cadangan JPS untuk memulakan kerja berkenaan bagi menyelamatkan pangkalan nelayan.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan kesediaan JPS untuk membina tembok penahan ombak kerana kami sudah enam bulan dibelenggu masalah hakisan pantai yang menyebabkan pangkalan nelayan kami musnah,” katanya.

Selain pangkalan nelayan, hakisan pantai turut mengancam struktur balai raya dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), katanya.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post SUHAKAM gesa kerajaan kembalikan Talian NUR
Next post Pihak berkuasa agama bermuzakarah sebelum fatwakan sesuatu ajaran sesat
Ubah saiz-+=