SUHAKAM gesa kerajaan kembalikan Talian NUR

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PETALING JAYA 2 Feb – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa Talian NUR dikembalikan bagi menangani keganasan dan perderaan terhadap kanak-kanak, susulan kejadian kanak-kanak tujuh tahun yang dipercayai didera ibu kandung dan bapa tiri Jumaat lalu.

Memetik laporan The Star, Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, talian itu perlu dikembalikan berikutan Talian Kasih yang sedia ada tidak mempunyai talian khusus bagi isu itu.

Sebaliknya, Talian Kasih juga mengatasi permasalahan berkaitan kes remaja dan keganasan rumah tangga.

Katanya, sekiranya Talian NUR dikembalikan, talian khas itu dikendalikan oleh kakitangan terlatih dengan kelayakan psikososial.

“Kerajaan perlu berusaha lebih keras untuk menjamin keselamatan kanak-kanak terutama yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya.

Talian Nur sebelum ini diperkenalkan susulan kes Nurin Jazlin Jaziman,8, yang diserang secara seksual dan dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam beg pada 2007.

Bagaimanapun, talian itu dinamakan semula sebagai Talian Kasih.

Noor Azizah berkata, Talian Kasih dan talian WhatsApp 019-261 5999 perlu dipromosikan menerusi platform media sosial, televisyen, radio dan papan iklan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memanfaatkan sepenuhnya peruntukan dalam Akta Kanak-kanak untuk melantik Pembantu Pelindung dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Noor Azizah juga menggesa keluarga angkat kanak-kanak untuk mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terjamin selain menyediakan khidmat nasihat sekiranya keluarga kandung berhasrat mengambil semula kanak-kanak itu.

“Walaupun pengambilan anak angkat digalakkan, JKM juga perlu menyediakan prosedur bersesuaian kepada mereka yang ingin berbuat demikian bagi melindungi kanak-kanak sekiranya penjaga yang sah iaitu ibu bapa kandung kanak-kanak itu ingin mengambil semula untuk dijaga,” katanya.

Jumaat lalu, negara ini gempar dengan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa mati lemas, namun hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat, mangsa dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Kanak-kanak berkenaan dibesarkan selama enam tahun oleh keluarga angkat di Rawang, Selangor sebelum diserahkan semula kepada keluarga kandung Oktober tahun lalu.

Views:

905
Kongsi :
Previous post PM ucap tahniah kepada Nicol dinobat Atlet Terunggul Sepanjang Zaman
Next post Projek atasi hakisan dimulakan hujung Februari
Ubah saiz-+=