PM ucap tahniah kepada Nicol dinobat Atlet Terunggul Sepanjang Zaman

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR 2 FEB.- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, semalam.

Berkongsi rasa bangga bersama seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan juara dunia sebanyak lapan kali berkenaan, perdana menteri berkata ia membuktikan sumbangan, keringat dan aksinya selama ini terus diperhatikan dunia walaupun beliau telah menggantung raket.

Beliau berharap kejayaan atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang diceburi.

“Kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi, jadikan kejayaan Nicol sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.

“Dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Datuk Nicol Ann David,” katanya dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya.

Bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu meraih undi majoriti dalam undian yang diadakan secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi Sukan Dunia https://www.theworldgames.org, sekali gus  mengatasi 23 atlet lain untuk meraih gelaran berkenaan.

Sebagai calon tunggal Asia, Nicol ternyata unggul sebagai pendahulu sejak hari pertama undian dibuka pada 8 Jan lepas apabila menerima 318, 943 undi, kelebihan 200,000 undi daripada pencabar terdekat.

Pencabar terdekat Nicol adalah legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang memperoleh 113,120 undi diikuti atlet powerlifiting wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova yang berada di tempat ketiga dengan 80,790 undi.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Pengajaran dan Pembelajaran Atas Talian dalam Norma Baharu
Next post SUHAKAM gesa kerajaan kembalikan Talian NUR
Ubah saiz-+=