Projek benteng pemecah ombak Pantai Puteri perlu disegerakan
PANTAI KUNDOR 22 September – Kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di Pantai Puteri dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, Jawatankuasa Khas Teknikal bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan wakil persatuan nelayan menyatakan pelantikan kontraktor bagi projek berkenaan akan dilakukan selewat-lewatnya November depan.
Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, selepas kontraktor dilantik projek akan dimulakan pada Disember atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
“Saya mohon projek itu dilaksanakan secepat mungkin kerana hakisan semakin serius di Pantai Puteri dan saya risau kerana musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi, fenomena air pasang besar akan lebih kerap berlaku.
“Kerisauan saya sekarang adalah bajet yang diperolehi (untuk pembinaan benteng pemecah ombak) tidak dapat menampung kehendak itu disebabkan masa diambil terlalu lama, jadi minta dipercepatkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-royong Perdana Bersama YB Pantai Kundor dan Orang Diparol (ODP) di Makam Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Melaka, Datuk Roslan Mohamed dan Komandan Institut Koreksional Malaysia (IKoM), Penolong Kanan Komisioner Penjara Mohd Zaidi Alias.
Dalam pada itu, Tuminah berkata, sebaik sahaja projek itu dilaksanakan, Melaka termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Pada waktu itu akan berlaku kerja penambakan pantai dan pembinaan benteng penahan ombak, jadi saya mencadangkan supaya kita mencari satu kaedah bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pelancong.
“Berikutan itu saya mohon JPS bekerjasama dengan kontraktor yang dilantik supaya meminimumkan gangguan kepada pelancong kerana kita faham apabila projek ini berjalan ia akan membabitkan pelbagai jentera dan peralatan pembinaan,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah hakisan yang membelenggu Pantai Puteri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.