Prospek cerah industri automatif di Melaka – Azmin

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 24 Okt – Industri pemasangan kereta mewah di Eropah berpotensi dimajukan di Melaka berikutan prospek cerah di negeri ini.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersedia membawa industri berkenaan ke Melaka seperti kejayaan MITI membawa pemasangan kereta porsche ke Gurun, Kedah.

Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kementerian itu mampu berbuat demikian jika kerajaan negeri ini stabil dan kuat dari aspek bilangan kerusi melebihi pembangkang.

Katanya, usaha berkenaan mampu direalisasikan berikutan prospek amat cerah bagi Melaka untuk mencapai kemajuan dalam industri automotif sebagai pelengkap kemajuan industri pelancongan sedia ada.

“Ekonomi Melaka amat bergantung kepada industri pelancongan tetapi kita boleh majukan industri automotif seperti kita bawa pelabur pemasangan kereta porsche dari Jerman ke Gurun, Kedah dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) MITI ke Jerman dan beberapa negara Eropah baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berucap pada program perjumpaan dengan jentera pilihan raya PN di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, syarikat berkenaan tidak akan melabur di Gurun jika Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak stabil serta terbabit dalam penyelewengan dan korupsi.

“Kalau kita kerajaan yang gagal, syarikat pembuatan kereta porsche tidak akan datang ke negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di negeri ini memilih kerajaan yang bukan setakat tidak terbabit dalam korupsi, malah mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat, terutama belia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

665
Kongsi :
Previous post Melaka Bebas Berniaga diteruskan tahun depan jika diberi mandat – KM
Next post Kunjungan Najib pengubat kesedihan kematian isteri
Ubah saiz-+=