Puad Zarkashi calon BN di DUN Rengit

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BATU PAHAT, 26 Feb – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin pengalamannya sebagai bekas Ahli Parlimen Batu Pahat akan membantu beliau memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.

Beliau yang diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini akan berhadapan dengan calon PKR Khairuddin A Rahim, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakili Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dan Mohd Huzair Lajis daripada Perikatan Nasional (PN).

“Saya yakin saya akan peroleh kemenangan kerana ini (DUN Rengit) bukan tempat asing bagi saya, saya pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat dan saya selalu turun di Senggarang dan Rengit,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon DUN Rengit di sini hari ini.

Mohd Puad yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran berjaya memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum 2008.

Mohd Puad berkata beliau mahu mewujudkan kemudahan kesihatan di DUN Rengit terutamanya melibatkan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang untuk memudahkan penduduk tempatan yang berhadapan dengan kesukaran dapat menjalani rawatan itu.

“Saya akan berusaha membina pusat rawatan dialisis DUN Rengit sendiri dan kemudahan kenderaan pesakit dialisis kerana kebanyakan mereka perlu ke kawasan yang jauh untuk mendapatkan rawatan, jadi kemudahan itu sangat diperlukan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut memegang slogan ‘4K@Rengit’ untuk membangunkan kawasan tersebut merangkumi Kesejahteraan, Kesihatan, Kecergasan dan Keceriaan.

Sementara itu, Khairuddin berkata masalah hakisan pantai di Rengit akan diutamakan selain membaik pulih isu tekanan air yang rendah di kawasan pedalaman Rengit.

Pengumuman nama-nama calon bagi DUN Rengit itu dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Mackeen Mohd Shafie di pusat penamaan calon Dewan Makmur Rengit, Batu Pahat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Rengit dimenangi oleh calon BN Ayub Jamil menewaskan Malik Faishal Ahmad daripada PKR dan calon PAS Mohd Tumiran Ahmad dengan kelebihan 9,642 majoriti undi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1747
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Wartawan dikompaun, diberi amaran kerana langgar SOP
Next post Malaysia amat prihatin konflik di Ukraine semakin serius – PM
Ubah saiz-+=