Pusat kuarantin khas jemaah umrah dibuka di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

JASIN 14 Jan – Sebuah pusat kuarantin khas akan dibuka di Melaka bagi menempatkan jemaah umrah yang baharu pulang ke tanah air minggu hadapan.

Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pusat kuarantin khas itu dijangka dibuka di sebuah resort di Alor Gajah dalam usaha kerajaan untuk membendung penularan varian Omicron.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri masih menunggu keputusan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkaitan perkara itu.

“Jemaah umrah baru pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada varian Omicron.

“Bagaimanapun, jika seseorang jemaah itu bergejala atau (dikesan) positif varian berkenaan, kita akan menghantarnya ke Hospital Melaka (HM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Lipat Kajang, Merlimau, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 16 kluster COVID-19 membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi antara 25 November hingga 11 Januari lalu, dengan tujuh daripadanya kes indeks disahkan varian Omicron.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah negeri berkata, sehingga semalam sebanyak 245 kes baharu Covid-19 direkodkan di Melaka dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 78,197 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 154 kes sembuh dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah kes sembuh meningkat kepada 75,917 kes.

“Terdapat 1,319 kes aktif di negeri ini yang sedang menerima rawatan termasuk lima kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HM manakala dua lagi perlu bergantung dengan mesin ventilator sepenuhnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

676
Kongsi :
Previous post Enam negeri selesai pembayaran bantuan wang ihsan – NADMA
Next post Selamat berehat, Shebby
Ubah saiz-+=