
RAKYAT MELAKA JANGAN TERPEDAYA ‘SCAMMER’ POLITIK
SERI NEGERI 23 Julai – Rakyat Melaka diminta agar lebih berwaspada dan tidak mudah percaya sebarang maklumat yang disebarkan, khususnya melalui media sosial, tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia ekoran kebelakangan ini terdapat pihak tertentu yang didakwa gemar ‘bersidang’ di platform media sosial dipercayai dengan niat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Beliau juga kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin parti politik yang disifatkan tidak ubah ‘scammer’ politik apabila ada yang cuba membangkitkan sesuatu isu tanpa memberikan fakta atau data yang tepat.
“Seperti contoh ada isu yang dibangkitkan di siaran langsung TikTok baru-baru ini yang seolah-olah cuba menghentam Kerajaan Negeri seperti contoh isu Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
“Namun, setelah dijawab oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ternyata data-data yang telah diberikan oleh dalam siaran itu adalah salah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fairul Nizam berharap rakyat Melaka dapat menilai dengan bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang tidak sahih.
“Pendekatan seperti ini boleh dianggap tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mempermainkan sentimen rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.