Rakyat perlu hukum politik katak – MCA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 9 Nov – Rakyat perlu mengambil peluang dan kebijaksanaan untuk memberi pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mencalonkan individu tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri.

Calon Barisan Nasional (BN-MCA) bagi kerusi N24 Bemban, Datuk Koh Chin Han berkata, rakyat perlu menghukum individu dalam parti itu yang bersikap tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan ekonomi dan pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, PH sebelum ini sering melaungkan tidak akan bersekongkol dengan individu yang mengamalkan lompat parti namun pendirian mereka berubah sebaliknya menyokong tindakan individu terbabit.

“Sebelum ini mereka dilihat kerap melaungkan kata-kata bahawa parti mereka tidak akan bersekongkol dengan ahli politik ‘katak’ dan anti dengan tindakan ‘lompat’ parti, kini pendirian mereka berubah.

“PH hanya akan menyokong tindakan ‘si katak’ apabila ianya memberi manfaat kepada mereka, malah mereka turut bersama menumbangkan kerajaan negeri Melaka sehingga perlunya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam keadaan negara yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Kami menyeru kepada rakyat Melaka agar menggunakan kebijaksanaan dan peluang keemasan ini untuk memberi pengajaran kepada ‘katak politik’ sekaligus ‘menghukum’ PH kerana mencalonkan individu yang bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka.

“Episod ‘katak politik’ ini harus ditamatkan dan ianya perlu dimulakan di Melaka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chin Han berkata, tindakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima katak politik ini bukan sahaja memalukan malah memakan diri kerana mengangkat individu berkenaan sebagai calon PH.

“Sebagai pimpinan tertinggi PH, Anwar telah melakukan tindakan yang paling memalukan dalam kemelut politik di Melaka.

“Sebelum ini, Anwar dan PH tidak boleh menerima jika ada ahli parti mereka ‘lompat’ ke parti lain, mereka mungkin akan dituduh sebagai tidak bermaruah kerana mengkhianati rakyat dan sistem demokrasi negara, tetapi kini apa yang terjadi?

“Apabila ada wakil rakyat dari parti lain ‘lompat’ ke PH, mereka bukan sahaja dipertahankan oleh PH malah turut diangkat sebagai ‘hero’ dan menjadi calon mewakili PH dalam pilihan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post Individu bawa penyokong ke pusat penamaan calon akan dipanggil – Polis
Next post Adly tunggang skuter edar risalah kempen
Ubah saiz-+=