Adly tunggang skuter edar risalah kempen

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MELAKA 9 Nov – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari memulakan antara strategi beliau untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menunggang skuter sambil mengedarkan risalah kempen di sekitar kawasan Bukit Katil, di sini hari ini.

Adly yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini turut berpesan kepada rakyat Melaka supaya keluar mengundi pada 20 Nov ini selain patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pagi ini turun edarkan risalah di sekitar DUN Bukit Katil. Cuaca cerah pagi ini diharap akan berterusan sehingga ke hari pengundian. Pesanan kepada rakyat Melaka, jangan takut untuk keluar mengundi pada 20 Nov nanti, ikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Masa depan lima tahun negeri Melaka terletak di tangan anda. Sayangilah negeri kita, ini rumah kita,” kata beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Adly berdepan tiga lagi pesaing dalam pertembungan empat penjuru bagi kerusi Bukit Katil, mereka ialah Datuk Hasnoor Sdg Husin mewakili Barisan Nasional, Abdul Hamid Mustapah (Bebas) dan Muhammad Al Afiz Yahya (Perikatan Nasional).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Adly memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 3,159 undi.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post Rakyat perlu hukum politik katak – MCA
Next post Ab Rauf singgah santai dengan penduduk Kampung Balik Batu
Ubah saiz-+=