Rakyat perlu turun mengundi – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 20 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyeru kepada semua rakyat di negeri ini untuk turun mengundi, hari ini.

Beliau berkata, peluang itu perlu dilaksanakan bagi menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri ini.

“Kepada yang belum lagi keluar mengundi ambillah masa untuk keluar mengundi, saya mohon semua terus mengundi kerana ini merupakan pilihan raya yang ke-15 dan tidak ada lagi Pilihan Raya Umum (PRU) (bertanding Dewan Undangan Negeri) tahun hadapan.

“Saya bimbang ada yang kata tidak mengapa tahun depan ada mengundi lagi, suka saya mengingatkan inilah satunya PRN yang akan memilih kerajaan negeri, tidak ada lagi tahun depan.

“Kalau ada pun ia akan Insya-Allah berlaku ia akan berlaku pada tahun 2026.

“Hari ini kita datang kita mengundi, kita nak mengundi memilih kerajaan. Jadi saya mohon kepada semua pengundi-pengundi datang keluar mengundi untuk memilih kerajaan, sudah pasti kerajaan yang kita pilih mestilah kerajaan yang stabil, kerajaan yang kukuh dan kerajaan yang boleh menjamin masa depan rakyat.

“Jadi jalankanlah tugas dan tanggungjawab kepada pengundi-pengundi sebaik yang mungkin supaya akhirnya kita akan mendapat sebuah kerajaan yang stabil yang ada kemakmuran dan dapat dibela di Negeri Melaka ini,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), pagi ini.

Terdahulu, ketibaan beliau bersama isteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop berbusana biru sedondon tiba di pusat pembuangan undi tepat 8.40 pagi dan selesai pada 8.58 pagi tadi.

Pada PRN kali ini beliau berdepan pertembungan tiga penjuru.

Beliau akan dicabar Mejar (B) Abdullah Mahadi dari Bersatu dan Asri Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU14, Sulaiman yang mewakili BN menang majoriti 627 menewaskan Ir Ridhuan Dion Bakar daripada Pakatan Harapan (PH) dan Cikgu Arshad (PAS).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post Sulaiman, isteri selesai buang undi di SK Durian Daun
Next post Dua warga emas lupakan sakit lutut demi undi
Ubah saiz-+=