Ramai hilang upaya akibat kemalangan sewaktu pergi kerja – PERKESO

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BATU 6 April – Kira-kira 70 peratus kes hilang upaya sementara dan kekal membabitkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di negeri ini adalah berpunca daripada kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pengarah PERKESO Melaka Abd. Razak Omar berkata, daripada hampir 6,000 kes hilang upaya sementara dan kekal yang direkodkan sepanjang tahun lalu, majoritinya adalah mereka yang hendak pergi ke kerja dan bukannya pulang dari kerja.

Katanya, peningkatan itu mungkin disebabkan ramai pekerja yang terburu-buru ke tempat kerja disebabkan kelewatan dan sebagainya.

“Jadi, kita ingatkan kepada semua pekerja agar berhati-hati di jalan raya untuk mengelakkan sebarang kes kemalangan yang boleh menyebabkan hilang keupayaan.

“Di pihak PERKESO, kita akan ‘cover’ bergantung pada tahap cedera tubuh badan dan berapa seriusnya kecederaan itu. Ia tidak melibatkan kerosakan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan PERKESO Prihatin dan Majlis Penyampaian Faedah kepada waris arwah Mohd Azizan Baba yang telah meninggal dunia akibat kanser di kediaman arwah di Kampung Bakar Arang, di sini, hari ini.

Penyampaian Faedah itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Abd. Razak berkata, sepanjang tahun lalu dan tiga bulan pertama tahun ini, terdapat peningkatan jumlah pembayaran faedah kepada pencarum di negeri ini.

Jelasnya, sepanjang 2021, jumlah pembayaran faedah ialah sebanyak RM18.8 juta dan pada tahun ini setakat 31 Mac sahaja, ia melibatkan jumlah RM8.8 juta pembayaran yang membabitkan pelbagai jenis faedah seperti hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, ilat, penakat dan faedah pengurusan mayat.

“Kalau kita lihat memang ada peningkatan pembayaran faedah PERKESO di negeri ini. Selain disebabkan hilang upaya sementara, kebanyakan bayaran faedah juga adalah untuk kes-kes COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2061
Kongsi :
Previous post Waris arwah Azizan Baba terima pencen bulanan RM867.30
Next post Lebih 320,000 pegawai, anggota dan veteran ATM terima bantuan khas Aidilfitri
Ubah saiz-+=