Waris arwah Azizan Baba terima pencen bulanan RM867.30

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 6 April – Berkat mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), balu kepada bekas pemain bola sepak Melaka Mohd Azizan Baba bersama lapan anaknya menerima Faedah Penakat berjumlah RM867.30 sebulan.

Bayaran pencen bulanan itu akan dibayar kepada balu arwah sepanjang hayat dan kepada anak-anaknya sehingga berumur 21 tahun.

Selain Faedah Penakat, waris arwah turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 secara one-off daripada PERKESO.

Faedah tersebut telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar di kediaman keluarga arwah di Jalan Tun Perak, Kampung Bakar Batu, di sini.

Menurut Sulaiman, pemergian arwah yang juga bekas pengendali Kelab SAMB FC dan Melaka United Bawah 14 tahun itu disifatkan sebagai satu kehilangan besar dalam dunia sukan negara.

“Pemergiannya sudah pasti dirasai semua peminat bola sepak Melaka, malah saya secara peribadi turut mengenali arwah yang merupakan orang lama dalam bola sepak Melaka.

“Di pihak kerajaan negeri, kita sedia membantu walau apa jua yang diperlukan. Saya difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menguruskan borang permohonan bagi bantuan-bantuan lain.

“Jika ada keperluan lain untuk anak-anak arwah, kerajaan negeri melalui agensi juga sedia membantu dari segi program anak angkat dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1168
Kongsi :
Previous post Kes pecah rumah Aidilfitri tahun lalu meningkat 85%
Next post Ramai hilang upaya akibat kemalangan sewaktu pergi kerja – PERKESO
Ubah saiz-+=