Kes pecah rumah Aidilfitri tahun lalu meningkat 85%

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

Oleh Adam Daniel Roslan

AYER KEROH – Jenayah membabitkan kes pecah rumah ketika musim perayaan Aidilfitri meningkat 85 peratus pada 2021 berbanding pada tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kes pecah rumah ketika musim perayaan Aidilfitri antara 17 hingga 31 Mei dua tahun lalu adalah sebanyak tujuh kes manakala perayaan sama antara 6 hingga 20 Mei 2021 adalah sebanyak 13 kes.

Katanya, perbandingan antara kedua-dua tahun itu menjadikan jumlah kes bagi jenayah itu meningkat enam kes atau 85 peratus.

“Berdasarkan trend peningkatan kes jenayah, PDRM (Polis Diraja Malaysia) Melaka berusaha meningkatkan kesedaran dan keupayaan masyarakat untuk mengamalkan tindakan pencegahan jenayah khususnya terhadap aspek keselamatan harta benda sendiri.

“Kempen Keselamatan Rumah ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran serta peranan aktif dari setiap lapisan masyarakat untuk memastikan tiada wujudnya sebarang ruang yang membolehkan penjenayah memecah masuk.

“Tindakan masyarakat ini akan membendung dari berlakunya kes pecah rumah,” katanya ketika Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Sempena Bulan Ramadan 2022 di hadapan pusat beli-belah Melaka Mall di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zaidi Attan serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya menerima 4,930 laporan pergerakan orang awam ketika sambutan perayaan itu pada tahun lalu manakala 3,052 laporan sama tahun sebelumnya.

“Sepanjang tempoh itu pada kedua-dua tahun berkenaan, tiada kes pecah rumah melibatkan pemilik yang melaporkan pergerakan mereka kepada polis.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk memaklumkan pergerakan mereka menerusi penyerahan borang maklumbalas balik kampung ke balai polis yang berhampiran atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol. Borang secara online boleh dimuat turun menerusi FB Polis Melaka atau Telegram Polis Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis Melaka terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan keupayaan orang awam untuk membendung kes seperti ini dengan menganjurkan Kempen Keselamatan Rumah bagi meningkatkan kesedaran serta peranan aktif bagi setiap lapisan masyarakat. .

Jelasnya, selain itu ,pihaknya turut meningkatkan rondaan berkala di kawasan yang rumah dan premis yang di mana pemiliknya melaporkan pergerakan mereka kepada pihak polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1275
Kongsi :
Previous post 90,000 kenderaan dijangka masuk Melaka menjelang Aidilfitri
Next post Waris arwah Azizan Baba terima pencen bulanan RM867.30
Ubah saiz-+=