
RATU KEBAYA PELANCONGAN MILIK ANAK SABAH
DUYONG 26 Oktober – Busana kebaya Pahang cekak musang yang digayakan dengan penuh anggun membawa tuah kepada anak kelahiran Semporna, Sabah apabila dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Ratu Kebaya Pelancongan yang diadakan bersempena Festival Seni Selat Melaka x Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025.
Persalinan bewarna hijau digayakan Emeraazwa Emeraldi, 24, itu berjaya memukau barisan juri, sekali gus mengungguli 11 peserta akhir lain.
Menurut Emeraazwa, dia tidak menyangka percubaan kali pertamanya menyertai pertandingan di Melaka membawa tuah selain dia dapat lebih mengenali sejarah negeri ini.
“Saya hanya mengetahui pertandingan ini apabila terbaca hantaran di media sosial dan terus memberitahu kepada kawan yang juga pereka fesyen sebelum dia bersetuju untuk menyiapkan saya kebaya ini.
“Disebabkan kekangan kerja dan jarak agak jauh dari Kuala Lumpur ke Melaka jadi boleh katakan persiapan dibuat juga agak lambat apabila sejarah dan hal berkaitan Melaka juga dibaca disaat akhir.
“Selain selesa dengan kebaya yang digayakan, pengalaman menyertai beberapa pertandingan sebelum ini saya praktikkan untuk tenang ketika berjalan peragakan baju,” katanya.
Emeraazwa, berkata demikian ketika ditemui selepas Pertandingan Ratu Kebaya Pelancongan dan hadir sama, Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka Ezlina Elias serta Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Dan Kewangan Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) Khairunnisa Ibno Masooda, di Dataran Pengkalan Rama, hari ini.
Menurutnya, berbanding pertandingan yang pernah disertai sebelum ini, pengisian Pertandingan Ratu Kebaya Pelancongan agak berbeza apabila turut mengetengahkan tentang kebudayaan.
“Ketika pertandingan berlangsung juri turut bertanyakan beberapa soalan tentang Melaka itu agak mencabar tetapi syukur semuanya dapat dijawab.
“Boleh katakan pertandingan ini agak berbeza dan secara tidak langsung ia menguji pengetahuan peserta berkaitan kebudayaan dan negeri Melaka,” katanya yang membawa balik hadiah wang tunai bernilai RM3,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


