Raya muhibah di Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KLEBANG 29 April – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan masyarakat berbilang kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, penganjuran rumah terbuka itu jelas mencapai matlamat dalam memupuk keharmonian kaum dan meraikan kepelbagai di kawasan itu.

Katanya, seawal jam 7.30 malam lagi, orang ramai sudah mula berpusu-pusu hadir ke rumah terbuka yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, Bukit Rambai, di sini.

“Kalau kita lihat rakan-rakan yang datang adalah berbilang kaum. Ada Melayu, Cina, India, bahkan baba dan nyonya juga ada di DUN Klebang ini.

“Selain meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama, rumah terbuka ini juga dapat mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum kerana pada waktu inilah mereka dapat berkumpul di bawah satu bumbung dengan menikmati juadah dan berbual sambil bertukar buah fikiran.

“Di Klebang ini bukan sahaja Aidilfitri, bahkan perayaan lain juga disambut secara bersama. Jadi saya fikir keharmonian dan kepelbagaian ini perlu dikekalkan kepada generasi akan datang dalam menjadikan Melaka sebuah negeri yang aman dan makmur,” katanya.

Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.

IMG_20230428_205518
BAN Hong (kiri) dan isteri menyampaikan cenderahati kepada Tun Mohd Ali dan Toh Puan Asmah yang hadir menyerikan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Klebang.

Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Adun-Adun Kerajaan Negeri.

Pada rumah terbuka itu, pelbagai juadah hari raya disediakan seperti rendang, sate, roti canai dan nasi beriani.

Majlis turut diserikan dengan persembahan buskers dan pertunjukan bunga api.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1611
Kongsi :
Previous post ‘Meja perpaduan’ erat silaturahim warga Telok Mas
Next post Semak semula status bintang hotel Melaka
Ubah saiz-+=