Semak semula status bintang hotel Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

TELOK MAS 29 April – Kerajaan Negeri Melaka akan menyemak semula status semua taraf hotel di negeri ini dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelancong.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ini kerana pihaknya mendapati terdapat hotel yang menyediakan perkhidmatan yang tidak wajar dengan status dimilikinya.

“Sebagai persiapan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kita sekarang dalam menyemak balik bintang, kedudukan hotel. Ini kerana ada sesetengah hotel contohnya tiga atau empat bintang tetapi perkhidmatannya tidak sampai.

“Saya dan agensi menyemak semula bukan hanya berpandukan pengunjung (aduan) tetapi kita mahukan Melaka ini memberikan perkhidmatan terbaik buat pelancong yang datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, malam tadi.

Turut hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Bersama-sama meluangkan masa hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, barisan Exco Kerajaan Negeri dan juga ketua-ketua agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1428
Kongsi :
Previous post Raya muhibah di Klebang
Next post Roti Canai Hari Ini jadi tumpuan di Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka
Ubah saiz-+=