Realisasikan impian ke final buat kali pertama

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) hanya selangkah sahaja lagi untuk mencipta sejarah mara ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Pengurus Pasukan Melaka United Muhammad Akram Abdullah berkata, semangat seluruh pasukan kini semakin membara untuk merealisasikan impian tersebut.

Justeru, menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Kuala Lumpur City FC malam esok, beliau mengharapkan sejarah baharu itu tercipta di bumi Melaka, dengan sorakan puluhan ribu penyokong sendiri.

“Sudah tentu kita mengimpikan ke final Piala Malaysia musim ini dalam misi kita melakar sejarah baharu bolasepak negeri Melaka.

“Semoga dengan sokongan padu penyokong Melaka di stadium, ia akan dapat menaikkan lagi semangat para pemain untuk cuba memenangi perlawanan ini.

“Diharapkan teriakan dan sokongan penyokong dapat membantu Melaka United FC mara ke pentas akhir buat pertama kali dalam sejarah Piala Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai perlawanan kedua itu, Muhammad Akram bagaimanapun mengakui tugas sukar menanti skuad Hang Tuah meskipun mempunyai kelebihan satu gol di tempat lawan pada pertemuan separuh akhir pertama.

Katanya, kelebihan itu akan membuatkan pasukan lawan lebih bersemangat untuk memburu gol di Stadium Hang Jebat.

“Kita masih mempunyai 90 minit untuk diharungi berdepan Kuala Lumpur City FC yang mampu memberikan kejutan jika kita leka.

“Walaupun kita mempunyai kelebihan gol tempat lawan tetapi saya yakin ia akan membuatkan tugas kita lebih mencabar kerana KL City FC sudah tentu akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan gol.

“Diharap disiplin dan semangat juang pemain akan membantu kita menghadiahkan sesuatu buat negeri Melaka yang tercinta ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Anak jati Pernu dilantik Rektor UiTM Melaka ke-11
Next post Warga emas didakwa lakukan persetubuhan luar tabii dengan kambing betina
Ubah saiz-+=