Anak jati Pernu dilantik Rektor UiTM Melaka ke-11

0
6974
DR Mohd Rasdi

BANDARAYA MELAKA 25 Nov. – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka mengumumkan pelantikan Profesor Madya Ts Dr Mohd Rasdi Zaini sebagai Rektor UiTM Melaka ke-11 berkuatkuasa pada Isnin lalu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan universiti itu, lantikan itu berkuatkuasa selepas menggantikan Profesor Dr Abd Halim Mohd Noor yang telah tamat tempoh lantikan sebagai Rektor UiTM Melaka ke-10, baru-baru ini.

Rasdi, 47, merupakan anak jati Pernu, Melaka Tengah dan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Entomologi Pertanian pada 2013 serta Ijazah Sarjana dalam bidang Perlindungan Tanaman dari UiTM pada tahun 2005.

Sebelum ini beliau pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Penolong Rektor UiTM Kampus Jasin, dan Felow Institut Antarabangsa Pengurusan Perladangan.

Beliau yang aktif dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional mahupun antarabangsa pernah menyandang beberapa jawatan penting yang lain antaranya termasuk menganggotai ‘Malaysia Board of Technologist’ (MBOT) dan Incorporated Society of Planters (IIPM) dan The Entomological Society of Malaysia (ENTOMA).

Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Entomologi Pertanian pada 2013 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Perlindungan Tanaman dari UiTM pada tahun 2005.

Selain itu, pelbagai pencapaian dan beberapa anugerah telah dirangkulnya seperti Anugerah Usahawan Tani Tahun 2020 dari Kerajaan Negeri Melaka melalui Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka.

Malah, beliau turut dianugerahkan ‘Academic Excellence Service Award’, Anugerah Penyelidik Harapan dalam bidang Sains dan Teknologi, UiTM Pahang 2009, dan Anugerah Sri Gading sebagai penulis paling aktif dalam penerbitan junal antarabangsa UiTM Pahang 2009.

“Pelantikan Rasdi sebagai Rektor UiTM Melaka diharap dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan dan kecemerlangan graduan UiTM khususnya UiTM Melaka, ” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.