Masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga akan diperluaskan – Rina

0
106
RINA pada Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Majlis Aspirasi Skuad Waja 2021 di Dewan Serbaguna Ampang Hilir hari ini. Foto FB rasmi Rina Harun

KUALA LUMPUR 25 Nov – Program menjadikan masjid sebagai pusat transit bagi mangsa keganasan rumah tangga kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan diperluaskan ke beberapa negeri setelah ia diperkenalkan di Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata negeri terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Sarawak.

“Projek rintis program ini telah diperkenalkan di Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail dan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Dalam usaha kita untuk memperluaskannya lagi, kita telah pun bercakap dengan beberapa Menteri Besar kerana masjid di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan setakat ini, ia mendapat sambutan (reaksi) baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita dan Majlis Aspirasi Skuad Waja 2021 di Dewan Serbaguna Ampang Hilir hari ini.

Menurut Rina, melalui program pusat transit itu, ahli jawatankuasa masjid akan diberi bimbingan psikologi sosial supaya mereka berupaya mengendalikan kes keganasan rumah tangga apabila didatangi mangsa.

“Ini adalah tindakan proaktif kerajaan bagi menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa,” katanya menambah dalam usaha memperkasakan komuniti KPWKM berhasrat mewujudkan pusat transit di masjid-masjid luar bandar.

Rina berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 6,443 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan dan dibuka kertas siasatan, berbanding 4,217 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

Beliau juga optimis, Skuad Waja yang ditubuhkan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) berupaya menjadi ejen perubahan dalam komuniti dengan mengesan kes-kes keganasan wanita di seluruh negara.

“Setakat semalam, keanggotaan Skuad Waja telah mencapai seramai 100,202 ahli, melebihi sasaran 100,000 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 93,295 orang adalah wanita dan 6,907 orang lagi lelaki. Penglibatan golongan lelaki ini membuktikan bahawa perjuangan menangani keganasan terhadap wanita bukanlah terletak di bahu wanita sahaja, malah turut dipikul oleh golongan lelaki,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.