Remaja lelaki didakwa bunuh bayi

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MELAKA 8 April. – Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Ahmad Shamil Ashraf Zainudin, 19, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh ke atas seorang bayi lelaki yang baru lahir oleh seorang remaja perempuan berusia 18 tahun.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kawasan semak di tepi jalan berhampiran Pusat Asuhan Tunas Islam Ahmadiah, Melaka Tengah, antara jam 12.01 pagi hingga 10.30 malam, 29 Mac lalu.

Ahmad Shamil Ashraf didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman.

Mohamad Izwan kemudian menetapkan 19 Mei depan sebutan bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan, sepasang kekasih berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan sebelum ditemukan mati berhampiran sebuah kilang di Telok Mas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Melaka memaklumkan kes kematian bayi berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati ibu bayi itu menjalinkan hubungan bersama teman lelakinya sejak Januari tahun lalu sebelum menyedari hamil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1479
Kongsi :
Previous post JSJN rampas dadah pil captagon bernilai lebih RM221 juta
Next post Ekonomi Melaka akan ketinggalan tanpa M-WEZ
Ubah saiz-+=