Ekonomi Melaka akan ketinggalan tanpa M-WEZ

Masa Membaca:3 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR 8 April – Jurang perbezaan ekonomi Melaka dan rakyatnya akan jauh ketinggalan sekiranya kerajaan tidak merancang untuk memajukan koridor ekonomi baharu seperti Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) untuk keperluan rakyat di masa hadapan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ia sekali gus menyaksikan Melaka yang pernah dikenali seluruh dunia sebagai pusat ekonomi khususnya oleh pedagang-pedagang Eropah, China dan Arab seperti 700 tahun lampau kembali berulang.

Menurut beliau, situasi itu berlaku disebabkan tiadanya perancangan khusus selepas itu untuk mewujudkan kawasan ekonomi baharu berimpak tinggi untuk meningkatkan ekonomi generasi seterusnya.

SULAIMAN melawat pameran pada majlis pelancaran rasmi M-WEZ hari ini.

“Sebab itulah mahu atau tidak mahu, saya dan rakan-rakan berbincang mengenai keperluan Melaka mempunyai koridor baharu dan menjadikan koridor kita (M-WEZ) berbeza dengan mana-mana koridor ekonomi yang ada di negara kerana ia berada di tepian pantai.

“Tanpa wilayah koridor yang mewujudkan tawaran ekonomi baharu, Melaka yang satu ketika, iaitu 700 tahun yang dahulunya hebat…akhirnya jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

“Sebab itulah hari ini kita wujudkan satu wilayah (koridor) ekonomi baharu (M-WEZ) supaya ia setanding dengan Singapura, Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran M-WEZ di hadapan kira-kira 500 jemputan kenamaan termasuk para pelabur dari dalam dan luar negara di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.

SULAIMAN (tengah)menyaksikan majlis menandatangani MoU dengan pelabur iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM), Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) dan Leaptex Engineering Sdn Bhd.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar, barisan EXCO kerajaan negeri, duta-duta luar, pelabur, wakil syarikat korporat serta lain-lain kenamaan.

Turut sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini merangkap Penasihat Media Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata M-WEZ berbeza dengan mana-mana koridor yang terdapat di negara ini dan berpotensi lebih maju kerana berada di Selat Melaka yang menjadi laluan maritim tersibuk di dunia.

“Setiap tahun, setahun hampir 100,000 kapal-kapal dagang melintasi Selat Melaka dan bayangkan nilai ekonomi yang dapat kita perolehi daripada aktiviti ini yang boleh menjana kewangan baharu kepada rakyat.

“Kelebihan Melaka adalah sepanjang 70 kilometer pesisir pantainya, kita mempunyai paras kedalaman dasar yang cukup baik untuk menerima apa sahaja jenis kapal untuk berlabuh.

“Kalau dilihat keadaan geografi Melaka ini dengan pelabuhan di Singapura dan Pelabuhan Klang, Melaka ini macam ‘pit stop’ Formular One, kapal mudah masuk, isi barang dan keluar,” katanya.

SULAIMAN (dua dari kiri) diberi penerangan mengenai model pembangunan di koridor M-WEZ.

Tambah beliau, keadaaan itu berbeza dengan dengan pelabuhan-pelabuhan lain yang mana kapal-kapal terpaksa tunggu masa yang sesuai untuk membolehkan mereka berlabuh selain terpaksa melalui kawasan sungai.

Berbeza dengan Melaka, katanya, kapal-kapal besar masih boleh berlabuh di kawasan dermaga untuk melakukan aktiviti walaupun ketika paras airnya rendah.

M-WEZ yang berkeluasan 10,117 hektar (25,000 ekar) sepanjang 33 kilometer pesisir pantai dari Tanjung Kling hingga ke Umbai, Jasin membabitkan kawasan pembangunan tambak laut seluas 6,070 hektar yang dijangka siap menjelang 2035.

Jika dibuat perbandingan, kawasan 6,070 hektar yang akan dibangunkan dengan lima zon utama itu adalah lebih besar daripada saiz Putrajaya seluas 4,931 hektar.

Lima zon utama M-WEZ adalah Melaka Habourfront, Smart Logistic Nucleus, Digital Satellite Township, Central Eco Business Park dan Trade Nucleus New Township yang mana kelima-lima zon mempunyai komponen tersendiri dengan fungsi yang saling berkaitan.

Koridor berkenaan merupakan cetusan idea Sulaiman bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri bermula Mei 2020 untuk bangkit dan mengeksplorasi sumber kewangan bernilai tinggi dan mampan ekoran dari kesan pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post Remaja lelaki didakwa bunuh bayi
Next post Burung botak siput bebas penyakit
Ubah saiz-+=