Sorting by

×

REMAJA LELAKI MAUT MOTOSIKAL HILANG KAWALAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR GAJAH 11 September – Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Parit Melana, Durian Tunggal, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, penunggang motosikal Norhisyamudin Mohamad Zailan, 19, disahkan maut di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, sebelum kemalangan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Pekan Durian Tunggal menghala ke Panchor, manakala pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 60 tahun pula dari arah bertentangan.

“Kemalangan disyaki berlaku, apabila mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan dikatakan tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa yang sedang bergerak,” katanya.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan pihak polis turut meminta orang awam yang ada melihat kemalangan supaya tampil untuk memberi maklumat,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post RICHARD, BUKAN MELAYU PERTAMA RANGKUL GELARAN JOHAN KESELURUHAN PIDATO RUKUN NEGARA
Next post TUJUH PROJEK NAIK TARAF INFRASTRUKTUR KAMPUNG BUKIT KATONG