Sorting by

×

REZEKI TAK DISANGKA, DATANG WRUR MENANG MOTOSIKAL ANTIK KOLEKSI PERIBADI YB

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT KATIL 21 Disember – “Terkejut memang tidak sangka langsung. Alhamdulillah rezeki untuk anak-anak saya”.

Itu kata Norzalina Mamat, 42, dari Bukit Katil Damai 2 selepas berjaya membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal antik.

Hadiah tersebut dimenangi ibu kepada tiga cahaya mata itu pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, di sini, semalam.

Paling istimewa, motosikal berkenaan merupakan koleksi peribadi milik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Adly Zahari.

Suri rumah itu bagaikan tidak percaya kehadirannya ke program santunan rakyat yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, memberikan rezeki tidak disangka-sangka kepadanya dan keluarga.

“Yang pasti hadiah ini sesuatu yang sangat istimewa dan sukar diperoleh di tempat lain. Terima kasih kepada YB kerana memberi kepercayaan ini kepada rakyat. Saya akan cuba sedaya upaya menjaga koleksi ini sebaik mungkin sebagai satu amanah besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Norzalina turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri Melaka atas penganjuran program WRUR yang dilihat banyak memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat.

“Program ini memang bagus dan saya harap ia dapat diadakan lebih kerap untuk memudahkan semua orang. Terima kasih banyak-banyak kepada YB Bukit Katil dan Ketua Menteri atas usaha menganjurkan program sebegini.

“Semoga program ini diteruskan dan jangan berhenti supaya lebih ramai lagi dapat hadir dan memberi sokongan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

418
Kongsi :
Previous post ‘SEKAMPUNG’ MASJID TANAH BERLARI DENGAN BUSANA ETNIK
Next post LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA MERIAH