Ribut: Baik pulih asrama SMA Al-Ehya El-Karim ambil masa sebulan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PAYA RUMPUT 12 Ogos – Kerja baik pulih bangunan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ehya El-Karim, Tanjung Bidara yang terjejas akibat ribut dalam kejadian padi Rabu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, pihak yang terbabit sudah mengambil tindakan segera bagi membolehkan kerja baik pulih digerakkan secepat yang mungkin.

Beliau berkata, meskipun kerosakan pada bangunan asrama itu terjejas teruk namun tiada sebarang kecederaan dilapor kerana ketika kejadian kesemua pelajar berada di kelas.

“Saya bersama JPN, kami turun padang untuk melihat sendiri keadaan sekolah dan boleh katakan amat teruk juga terjejas kerana bangunan asrama sudah tidak boleh didiami lagi kerana bumbung rosak.

“Pada masa ini 46 pelajar yang kesemua perempuan dipindahkan di dewan makan. Kalau tiada aral melintang saya jangkakan mungkin kurang sebulan untuk siapkan dan pelajar dapat kembali semula ke asrama,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, segala keperluan untuk pelajar sepanjang ditempatkan di dewan diuruskan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memberi keselesaan kepada mereka.

“Alhamdulillah saya difahamkan MAIM juga sudah menghantar peralatan diperlukan termasuk alas tidur manakala JPN pula sedang menguruskan penghantaran tilam.

“Kita sudah minta pihak yang terbabit agar menyegerakan proses baik pulih ini,” katanya.

Melaka Hari Ini pada Rabu melaporkan, sebanyak 58 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara terjejas akibat ribut dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3067
Kongsi :
Previous post Parti liar: Datuk Seri Antara 25 ditahan di Janda Baik
Next post Anak yatim dirai berkati Hari Asyura
Ubah saiz-+=