Sorting by

×

RICHARD, BUKAN MELAYU PERTAMA RANGKUL GELARAN JOHAN KESELURUHAN PIDATO RUKUN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 11 September – Minat berpidato yang dipupuk sejak bangku sekolah menengah membawa tuah kepada Richard Chai, 38, apabila dinobat johan keseluruhan Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2025.

Pertandingan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, itu menjadi kenangan manis buat Richard apabila turut diumumkan sebagai juara Kategori Bukan Melayu, sekali gus membawa pulang wang tunai keseluruhan RM4,000, piala pusingan, sijil, pakej percutian dan baucar barangan elektrik.

Bagi anak kelahiran Sabah itu, kemenangan tersebut bukan sekadar piala dan wang tunai, tetapi lambang usaha, ketekunan dan cintanya terhadap seni pidato sejak remaja.

“Syukur, saya tidak sangka dapat merangkul dua gelaran sekali gus. Seni pidato mempunyai sentimen tersendiri bagi saya kerana ia bukan sekadar bercakap, tetapi menggerakkan hati orang lain melalui kata-kata.

“Saya mula minat sejak sekolah menengah dan setiap kali ada pertandingan, saya akan cuba sertai.

“Pada 2021, saya pernah bertanding dalam pertandingan ini tetapi sekadar naib johan. Jadi tahun ini saya cabar diri untuk cuba sekali lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, hadiah kemenangan telah disampaikan sendiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Richard yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengakui perjalanan menuju kemenangan tidak mudah.

“Cabaran terbesar yang dihadapi adalah membahagikan masa antara tanggungjawab kerja dan latihan pidato yang memerlukan tumpuan tinggi.

“Persaingan kali ini memang sengit kerana semua peserta hebat-hebat belaka. Saya bersyukur kerana pihak pengurusan di KPWKM sangat memahami dan memberi sokongan penuh kepada saya,” katanya.

Richard berkata, kemenangan ini membuktikan bahawa seni pidato masih relevan sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang berkesan dan mengukuhkan perpaduan rakyat.

“Bagi saya, pidato bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang untuk menyebarkan nilai dan semangat Rukun Negara kepada masyarakat. Ia adalah cara saya memberi kembali kepada negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

298
Kongsi :
Previous post 223 ANAK ORANG ASLI DAERAH JASIN TERIMA BANTUAN PERSEKOLAHAN
Next post REMAJA LELAKI MAUT MOTOSIKAL HILANG KAWALAN