Rindu tiga tahun terubat Deepavali ini

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

GADEK 24 Oktober – Deepavali tahun ini mengubat kerinduan anak rantau di luar negara untuk menyambut pesta cahaya itu di kampung halaman selepas hampir tiga tahun terpisah akibat COVID-19.

Seorang anak Melaka yang menetap di Singapura, S. Pannir, 60, menyifatkan tiga tahun tidak dapat beraya dengan keluarga besarnya di Alor Gajah sebagai amat memilukan.

Baginya yang bekerja di Republik itu, hanya perasaan syukur mampu diungkapkan berikutan perayaan tahun ini cukup bermakna dan bertambah meriah.

“Tiga tahun tak balik Melaka memang satu perkara yang cukup dirindui kerana akhirnya dapat berkumpul satu keluarga.

“Apabila dibenarkan untuk pulang ke Malaysia kami rasa amat bahagia bertemu bersama keluarga malah pasca pandemik ini mampu membuatkan kami menziarahi saudara mara di negeri lain tahun ini.

“Deepavali tahun ini selain dirahmati dan diberkati kami sekeluarga bersyukur dapat marayakan Pesta Cahaya ini dengan penuh bermakna,” katanya.

Terdahulu, pada tinjauan Melaka Hari Ini di Kuil Sri Sithi Vinaiyagar Sri Balasupramaniarparibalana, Kampung Pengkalan, di sini, mendapati rata-rata penganut agama Hindu mula berkunjung di kuil itu seawal jam 7 pagi tadi.

Kira-kira 1,000 penganut Hindu hadir mengenakan pelbagai rona warna pakaian sedondon, selain diserikan dengan kedatangan pelbagai lapisan masyarakat, baik anak kecil sehinggalah warga emas melaksanakan upacara utama tahunan itu dengan penuh kesyukuran.

IMG-20221024-WA0004
UPACARA sembahyang merupakan acara utama tiap kali perayaan Deepavali berlangsung.

Meluahkan rasa sama, A. Rani, 57 bersyukur suasana perayaan yang disambut tahun ini begitu meriah selepas tiga tahun ‘sengsara’ akibat pendemik COVID-19 membuatkan sambutan perayaan itu terbatas.

Katanya, berikutan perayaan yang disambut meriah tahun ini dia tidak melepaskan peluang memasak juadah istimewa iaitu rendang ayam yang merupakan masakan utama keluarganya setiap kali menyambut perayaan itu.

“Tahun ini kita raikan dengan begitu meriah sekali, anak dan cucu dapat pulang beraya meraikan hari yang penuh keberkatan ini. Saya begitu bersyukur dengan perayaan Deepavali yang disambut ini kerana ia begitu bermakna buat kami sekeluarga.

“Masakan rendang ayam menjadi permintaan anak dan cucu ketika Deepavali setiap tahun dimana selepas sembahyang di kuil kami akan makan bersama dengan juadah rendang ayam dan dimakan bersama tose ” katanya yang menetap di Taman Dalong, Alor Gajah.

IMG-20221024-WA0003
S. Logashilan

Sementara itu, S. Logashilan, 20 berkata suasana kuil itu dilihat begitu meriah tahun ini berbanding tahun lalu.

Katanya, tahun lalu biarpun sambutan dibenarkan namun hanya separuh daripada kuota ditetapkan membuatkan pergerakan terbatas.

“Pasca pandemik kali ini membuatkan perayaan ini meriah dan ia sangat berbeza dengan tahun-tahun lalu.

“Akhirnya ramai sanak saudara yang berada di luar negeri dapat berkumpul meraikan bersama-sama dalam hari bahagia ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2385
Kongsi :
Previous post Pekerja SWM maut motosikal terbabas
Next post Dua maut MPV rempuh tiang MRT
Ubah saiz-+=