RM10 juta bantu petani, penternak KADA dalam tempoh lima tahun

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KOTA BHARU, 6 Jan – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan RM10 juta kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerusi Program Bantuan Agromakanan dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata projek itu menjadi inisiatif kementerian bertujuan meningkatkan kemakmuran petani dan menambah pengeluaran produk pertanian melalui program peningkatan pendapatan petani agroindustri selain padi.

“Sebanyak RM2 juta diagihkan bagi 2021, manakala RM1.5 juta peruntukan telah diluluskan bagi tahun lepas.

“Program ini melibatkan golongan sasar terdiri daripada pengusaha tanaman padi serta lain-lain aktiviti pertanian dan penternakan di bawah kawasan seliaan KADA iaitu dari Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Agromakanan kepada 72 penerima KADA melibatkan nilai keseluruhan RM360,000 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah penerima di dalam kawasan KADA yang mendapat manfaat daripada program ini sepanjang 2021 untuk lima jajahan berkaitan melibatkan seramai 936 penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta nilai bantuan.

“Kategori penerima bantuan paling tinggi ialah ruminan iaitu ternakan lembu, kambing dan biri-biri bernilai RM640,000, manakala bantuan daripada kategori tanaman sayur dan buah pula melibatkan RM450,000.

“Bagi ternakan unggas dan lain-lain projek seperti kelulut dan arnab pula masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM200,000, selain ternakan air tawar sebanyak RM60,000,” katanya.

Mohamad berkata pelaksanaan program itu dilihat mampu mengurangkan kos operasi petani dan penternak yang masih berada dalam golongan berpendapatan rendah, juga mahu melahirkan usahawan pertanian berjaya selain padi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1692
Kongsi :
Previous post Kesiapsiagaan KKM hadapi COVID-19 diperjelas 10 Jan
Next post TMJ tawar Harimau Malaya guna Stadium Sultan Ibrahim
Ubah saiz-+=