RM14.5 juta untuk kecemerlangan akademik anak Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 2 Februari – Sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan Inisiatif Kecemerlangan Pendidikan di Melaka tahun ini kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, peruntukan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu disalurkan menerusi beberapa inisiatif seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2024.

Menurut beliau, bantuan pendidikan disalurkan ke semua enam parlimen itu adalah seiring hasrat Kerajaan Negeri yang mengutamakan kecemerlangan akademik anak Melaka khusus golongan kurang berkemampuan.

“Sebanyak RM700,000 atau RM50 bagi setiap penerima disalurkan ke Program Kecemerlangan Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, Bantuan Mesra Bayi bagi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bernilai RM50 seorang juga akan disalurkan pada tahun ini.

“Setiap sekolah tahfiz di negeri ini akan menerima sumbangan RM3,000 menerusi insiatif Bijak Tahfiz dengan peruntukan sebanyak RM306,000. Bagi Insentif Bijak Sejarah pula kita menawarkan RM200 kepada calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memperoleh keputusan SPM A+ dan STPM A bagi subjek Sejarah.

“Insentif sebanyak RM1,000 seorang kepada graduan anak Melaka menggengam Ijazah Kelas Pertama dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara dengan peruntukan sebanyak RM200,000 dan Bantuan MESRA Anak Orang Asli sebanyak RM30,000 berbentuk bantuan persekolahan kepada murid tadika, sekolah rendah serta menengah,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademik 2024 diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Azman Adnan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengurus Besar Tapem, Abdul Aziz Baba serta tetamu lain.

Terdahulu Ketua Menteri menyerahkan sumbangan persekolahan kepada wakil murid daripada 241 sekolah yang membabitkan lima kawasan parlimen di Negeri Melaka.

Secara keseluruhan bantuan yang diagihkan memberi manfaat kepada 2,060 murid sekolah rendah di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

787
Kongsi :
Previous post Pemilik syarikat mengaku tidak bersalah urusan umrah
Next post Cemerlang sejarah dapat RM200
Ubah saiz-+=