RM21 juta bantu B40 jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 26 Okt – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM21 juta menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) Fasa 2 yang memfokuskan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, peruntukan tersebut menyasarkan seramai 2,000 peserta tahun ini dalam membantu golongan berkenaan menjana pendapatan lebih tinggi.

“Selepas pandemik COVID-19 melanda negara, ini adalah program pertama untuk tahun 2021, kita harapkan peserta komited dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Tahun ini saja peruntukan disalurkan sebanyak RM21 juta dan kita sasarkan setiap peserta (usahawan) dapat menjana pendapatan minimum sebanyak RM600 sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan pemantauan, bergantung kepada kesungguhan mereka.

“Peserta yang mengikuti program ini bukan saja diberi latihan kemahiran semata-mata tetapi diberikan kursus motivasi, keusahawanan dan pengurusan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar Fasa 2 Tahun 2021 di Hotel Muzaffar, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT, Datuk Muhamad Musa dan Pengerusi Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia, Datuk Joyah Abd Rashid.

Katanya, setakat ini seramai 60 peserta terlibat dalam fasa 1 program PKEB iaitu Program Masakan Kuih Tradisional tahun ini.

“Ia melibatkan seramai 30 peserta iaitu 20 peserta dari Negeri Sembilan dan 10 peserta dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Manakala 30 peserta lagi bagi fasa 2 iaitu program urutan lepas bersalin yang melibatkan peserta dari Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post Mahu teruskan pembangunan di Merlimau jika masih diberi mandat – Roslan
Next post PAS, Bersatu sudah sepakat tapi tunggu MKT UMNO
Ubah saiz-+=