PAS, Bersatu sudah sepakat tapi tunggu MKT UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Okt – PAS dan Bersatu hari ini mencapai kesepakatan pembahagian kerusi untuk ditandingi tetapi ia disifatkan ‘masih di awang-awangan’.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, ia berikutan hasil perbincangan itu tetap perlu menunggu keputusan muktamad Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sama ada ingin bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya, pada lusa.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan dari hati ke hati dengan meletakkan kepentingan Melayu dan Islam sebagai landasan utama antara PAS dan Bersatu, buat masa ini sudah sempurna.

“Alhamdulillah, hari ini kami sudah mencapai kesepakatan yang dicari selama ini dan kami berjaya kerana niat kami sama, iaitu untuk menyatukan bangsa Melayu dan Islam.

“Namun demikian, segala keputusan itu masih di awang-awangan kerana kami terpaksa menunggu kata putus UMNO sama ada ingin bekerjasama dengan PN atau sebaliknya walaupun sebelum ini Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah menyatakan tidak akan ada kerjasama dengan Bersatu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PAS tidak akan terburu-buru dalam menyusun strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini, sebaliknya sentiasa berhati-hati bagi memastikan tidak mengalami kerugian, khususnya untuk bangsa Melayu dan Islam secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan sama ada perbincangan itu bakal menyaksikan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibahagikan sama rata antara PAS dan Bersatu.

“Sabarlah, kita perlu tunggu sehingga Khamis ini tetapi dalam masa yang sama kerja awal kempen sudah dibuat dan insya-Allah jentera akan bergerak sepenuhnya apabila tiba waktunya,” katanya.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dengan PN akan dibawa ke perbincangan MKT UMNO, Khamis ini.

Beliau berkata, keputusan muktamad kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PN akan diumumkan apabila mesyuarat Biro Politik dan MKT yang diikuti dengan mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum penamaan calon.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post RM21 juta bantu B40 jana pendapatan
Next post PRN Melaka: Pemuda UMNO ganda strategi kempen dalam talian
Ubah saiz-+=