RM5 juta naik taraf Stadium Hoki MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 18 Februari – Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bukit Serindit akan dinaik taraf pada pertengahan bulan Jun depan.

Presiden Presatuan Hoki Melaka (PHM), Datuk Rais Yasin berkata, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi kerja naik taraf membabitkan aspek fasiliti dan kualiti padang.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan penambahbaikan itu bertujuan memberi keselesaan kepada pasukan negeri selain menjadikan stadium tersebut sebagai medan kejohanan bertaraf lebih besar pada masa akan datang.

“Insha-Allah pada bulan Jun sebut harga untuk kerja naik taraf akan dikeluarkan dan kita akan mendapat stadium hoki yang lebih baik dan selesa.

“Penambahbaikan akan dilakukan pada infrastruktur sedia ada sepenuhnya. Ia lebih kepada menaik taraf untuk menjadi lokasi penganjuran kejohanan hoki atau lokasi latihan pasukan negeri yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dilantik menjadi Presiden Persatuan Hoki Melaka yang baharu pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali ke-24 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Rais berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi mempersiapkan pasukan hoki negeri yang akan beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada Ogos depan.

“Setakat ini kita belum meletakkan sasaran berapa pingat untuk SUKMA Sarawak namun saya percaya persatuan akan membincangkan hal terbabit dengan segera.

“Selain itu juga komitmen saya adalah untuk memastikan bakat-bakat baharu atlet hoki ini akan terus digilap dan dicungkil bagi melahirkan pelapis-pelapis negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

649
Kongsi :
Previous post K-JOM medan pungutan suara, idea belia
Next post Beras putih tempatan hanya dijual di tujuh pasar tani FAMA di Melaka
Ubah saiz-+=