K-JOM medan pungutan suara, idea belia

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 18 Februari – Program Kembara Jumpa Orang Muda (K-JOM) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menjelajah ke seluruh negeri dalam Malaysia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, program yang bermula di Melaka itu bertujuan menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menjelaskan, program tersebut juga bersifat dua dalam satu iaitu meraikan aktiviti dan mempromosi gaya hidup Rakan Muda, selain sesi temu rapat bersama pertubuhan-pertubuhan belia sempena proses transisi umur belia.

“Setiap negeri kita akan adakan K- JOM ini bermula di Melaka dan seterusnya Negeri Sembilan sehingga ke Sabah dan Sarawak dan di sana penganjuran program ini akan diadakan seminggu untuk kita pergi juga ke kawasan pedalaman bagi bertemu komuniti orang muda.

“Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh juga telah menyatakan komitmen untuk kita rapatkan hubungan kementerian bersama orang muda yang merupakan pemegang taruh terbesar supaya kita ada interaksi dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup K-JOM di Melaka Mall, di sini, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Adam Adli memaklumkan selepas tamat program tersebut, KBS akan menjadikan input-input yang diperolehi sebagai rumusan dasar-dasar yang akan dilaksanakan selepas ini.

“K-JOM ini selain sesi temu rapat terdapat reruai seperti Rakan Muda, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) selain kaunter-kaunter lain untuk kita ambil pungutan suara serta pendapat mereka supaya kita boleh rumus apakah dasar dan program yang boleh dilakukan.

“Ini juga adalah sebagai ‘road map’ sebelum diadakan Sambutan Hari Belia Negara dan diharap sebelum bulan Mei kita dapat selesaikan Kembara JOM ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post Liga Hoki Melaka kembali tahun ini
Next post RM5 juta naik taraf Stadium Hoki MBMB
Ubah saiz-+=