Liga Hoki Melaka kembali tahun ini
AYER KEROH 18 Februari – Liga Hoki Melaka dijangka kembali dianjurkan semula pada Julai tahun ini.
Presiden Persatuan Hoki Melaka (PHM), Datuk Rais Yasin berkata, liga terbabit kembali diadakan selepas kali terakhir dianjur pada 2018.
Katanya, satu mesyuarat mengenai penganjuran liga itu akan diadakan dalam masa terdekat.
“Liga itu juga akan membabitkan pelbagai peringkat umur dan kategorinya membabitkan pasukan dari sekolah dalam negeri ini hingga pasukan kelab.
“Namun kita akan minta dahulu panduan daripada pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk melihat tarikh yang sesuai untuk penganjuran liga berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dilantik menjadi Presiden baharu PHM menerusi Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali ke-24 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata penganjuran semula liga berkenaan adalah antara visi pertama beliau sebagai presiden baharu dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sukan hoki di negeri ini.
“Selain itu kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka bagi melaksanakan program pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.
“Ini juga komitmen kita bagi mengembalikan kegemilangan sukan hoki di negeri ini yang pernah melahirkan ramai bintang hoki negara dengan menggilap bakat anak muda menerusi penganjuran pertandingan dan liga hoki,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.