RM67 juta naik taraf MPV polis baharu

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelanjakan sejumlah RM67 juta dalam menaiktaraf 425 kereta peronda polis (MPV) baharu termasuk kelengkapan kit peralatan sokongan didalam kenderaan terbabit.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Datuk Zainal Abidin Karim berkata, selain Honda Civic 1.8, 175 buah daripadanya adalah Proton X70 yang disewa secara konsensi selama lima tahun melalui peruntukan mengurus tahun 2020.

Beliau berkata, MPV baharu itu diserah secara berperingkat dan dijangkakan setiap kontinjen akan menerimanya pada pertengahan September ini bagi menggantikan MPV lama seperti Proton Waja.

“MPV ini akan menggantikan kenderaan lama yang usang dan tidak lagi sesuai digunakan dalam penugasan rondaan harian polis.

“Kita bukan sahaja perlukan kenderaan yang tahan lasak dan boleh digunakan dalam tempoh 24 jam tetapi memastikan pemanduan defensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan MPV di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini.

Zainal Abidin berkata, bagaimanapun bagi Proton X70 ia masih di peringkat pembuktian konsep (POC) untuk memastikan ia sesuai digunakan dalam penugasan polis.

“Sekarang pihak teknikal logistik kenderaan dan teknikal JPKK Bukit Aman sedang melakukan pemeriksaan ke atas setiap kenderaan sebelum diserahkan kepada kontinjen.

“Ini kerana kita tidak mahu ia tidak dapat memenuhi spesifikasi teknikal yang diperlukan JPKK dalam melakukan tugasan rondaan dan Proton X70 masih dalam proses POC,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MPV baharu turut dilengkapi peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka serta perakam video digital selain akan juga dilengkapi jaket kalis peluru.

“PDRM juga kini dalam usaha memperoleh kira- kira 1,000 unit ‘non-lethal weapon’ dalam mengendalikan kes seperti amuk,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 14 MPV Honda Civic diserahkan kepada IPK Melaka dan diagihkan kepada tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Views:

368
Kongsi :
Previous post 88 individu ditahan kerana ingkar arahan PKPP – Ismail Sabri
Next post Jelajah berbasikal rentas 10 negeri
Ubah saiz-+=