Jelajah berbasikal rentas 10 negeri

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengadakan Program Jelajah Pusat Sukan Tumpuan (PST) Berbasikal UTeM bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Tuah Merdeka 2020 sempena Bulan Kebangsaan ini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata,
program itu merupakan inisiatif PST Berbasikal untuk memulakan aktiviti sukan di institut pengajian tinggi (IPT) sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Platform ini menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penuntut atau TUAH UTeM di samping menguji ketangkasan atlet-atlet TUAH bagi program kayuhan sejauh 1,198 kilometer (km).

“Ia dijangka mengambil masa selama lapan hari merentasi 10 negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

PENYERAHAN Jalur Gemilang dan bendera UTeM untuk dikibarkan sepanjang jelajah berbasikal.

Majlis pelepasan diadakan di Kompleks Pusat Sukan UTeM Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Katanya, menerusi acara ini, UTeM secara tidak langsung membuat persediaan pasukan ke peringkat lebih tinggi seperti Grand Prix dan Jejajah Malaysia pada masa akan datang.

“Program ini juga mendukung usaha KPT dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dalam kalangan warga KPT.

“Selain menjadikan UTeM sebagai tumpuan atlet lumba basikal IPT bagi melahirkan pelumba yang berupaya mewakili negara,” katanya lagi.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap.

Untuk rekod, pasukan jelajah PST Berbasikal KPT Tuah Merdeka 2020 telah berlepas dari UTeM dan melalui beberapa bandar utama iaitu Temerloh, Kuantan, Marang, Grik, Pulau Pinang, Kuala Kangsar, Brinchang.

Serta melalui Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Views:

383
Kongsi :
Previous post RM67 juta naik taraf MPV polis baharu
Next post COVID-19: Kes kembali dua angka dengan 10 kes
Ubah saiz-+=