COVID-19: Kes kembali dua angka dengan 10 kes

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatat dua angka dengan 10 kes iaitu lapan kes import dan dua kes penularan dalam negara berbanding lima kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara dan tujuh bukan warganegara iaitu dari India dan Filipina.

“Daripada dua kes penularan dalam negara, satu kes melibatkan warganegara yang dikesan di Kedah daripada saringan bergejala, manakala kes bukan warganegara dikesan di Selangor iaitu kes saringan tahanan pendatang asing tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 9,306 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 151 kes.

Katanya selain itu terdapat 36 kes yang telah pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,030 kes atau 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat lapan orang yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 125 kes, iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Beliau juga berkongsi data ketibaan pengembara di Malaysia sehingga 27 Ogos iaitu seramai 106,793 orang dengan 904 daripadanya dikesan positif COVID-19 iaitu kadar positiviti sebanyak 0.85 peratus.

Daripada jumlah positif yang dikesan itu, tiga kes tertinggi adalah daripada Indonesia iaitu sebanyak 295 kes atau 32.6 peratus) diikuti Mesir dengan 93 kes (10.3 peratus) dan Singapura 70 kes (7.7 peratus).

“Malaysia akan terus memperketat aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di pintu masuk antarabangsa negara bagi memastikan jangkitan di luar negara dapat disekat,” katanya.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini dan cuti hujung minggu panjang, beliau menasihatkan masyarakat mengelakkan sebarang perhimpunan besar-besaran dan terus mengamalkan kebiasaan baharu.

“KKM juga ingin menekankan bahawa pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di tempat yang sesak dan sempit oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos lalu terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan,” tegasnya.- BERNAMA

Views:

241
Kongsi :
Previous post Jelajah berbasikal rentas 10 negeri
Next post Thailand belum buka pintu untuk pelancong asing
Ubah saiz-+=