Rogol remaja di Pantai Klebang, dua lelaki warga Rohingya ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 20 September – Dua lelaki warga Rohingya berusia 14 dan 27 tahun direman tujuh hari selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan dalam kejadian di Pantai Klebang, 14 September lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, kedua-dua suspek direman bermula 15 September lalu selepas abang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga.

Katanya, mangsa berusia 15 tahun baru sehari mengenali salah seorang suspek berusia 14 tahun yang tidak bersekolah menerusi aplikasi Whatsapp sebelum keluar bersiar-siar menaiki motosikal ke Pantai Klebang pada jam 2 petang, 14 September lalu.

“Ketika di Klebang, datang seorang lagi rakan suspek berusia 27 tahun dan mangsa dikatakan telah mengikut kedua-dua suspek itu menaiki sebuah kereta Proton Preve.

“Ketika menaiki kereta berkenaan mangsa mendakwa telah dirogol kedua-dua lelaki itu di dalam kereta berkenaan di sebuah kawasan tepi laut di Pantai Klebang.

“Selepas dirogol, mangsa kemudiannya ditinggalkan di kawasan taman permainan di Batu Berendam sekitar jam 2 pagi sebelum ditemui rakan-rakan abangnya yang turut mencari mangsa selepas mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya.

Zainol berkata, hasil pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan di Hospital Melaka mengesahkan mangsa telah dirogol susulan terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2724
Kongsi :
Previous post Perincian subsidi bersasar akan dibentang pada Belanjawan 2024 – PM
Next post Kumpool Kasturi kurangkan penggunaan kenderaan persendirian
Ubah saiz-+=