Kumpool Kasturi kurangkan penggunaan kenderaan persendirian

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 20 September – Perkhidmatan pengangkutan awam berkonsepkan e-hailing iaitu ‘Bus On Demand’ Kumpool Kasturi yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dijangka dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sehingga 40 peratus.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perkhidmatan baharu yang diperkenalkan itu bukan sahaja bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) malah sebagai kaedah penyuraian trafik di Melaka.

Beliau berkata, dengan 128 ‘checkpoint’ ia amat memudahkan rakyat dan pelancong untuk bergerak menggunakan perkhidmatan awam sekali gus dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

“Kita harapkan bila ada ‘coaster’ ini sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus kenderaan persendirian akan berkurangan di Melaka terutamanya pada waktu puncak sama ada pagi, petang ataupun hujung minggu.

“Mereka yang ingin keluar bekerja awal pagi boleh menggunakan Kumpool Kasturi ini dan kita sasarkan setiap pagi sekurang-kurangnya lebih 500 rakyat Melaka akan menggunakan perkhidmatan ini.

“Malah dengan tambangnya serendah RM1, hendak ke sekolah (menaiki Kumpool Kasturi) juga boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Menaiki Coaster dari Taman Rempah ke Kampung Hulu, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Khalil; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar.

Hameed yang juga Adun Ayer Limau berkata, inisiatif dibuat Kerajaan Negeri itu bertujuan untuk menambah lagi perkhidmatan pengangkutan sedia ada yang terdapat di Melaka.

“Kita tidak berniat untuk bersaing dengan operator sedia ada sebaliknya untuk menambah lagi perkhidmatan yang ada pada waktu ini.

“Setakat ini Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memberikan kelulusan untuk tiga zon sahaja iaitu Zon Bandar Melaka, Zon Ayer Keroh dan Zon Batu Berendam namun begitu kita dalam usaha untuk menambah satu lagi iaitu Zon Telok Mas.

“Sekiranya dapat, bermakna seluruh Zon Bandar Melaka ada perkhidmatan ‘Bus On Demand’ ini dan selepas itu baru kita bergerak ke bandar lain seperti Masjid Tanah, Alor Gajah, Jasin termasuk Pulau Sebang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Rogol remaja di Pantai Klebang, dua lelaki warga Rohingya ditahan
Next post 32 mangsa banjir dipindahkan di Alor Gajah
Ubah saiz-+=