Royalti pasir: SPRM sahkan ambil maklumat, lihat dokumen dari Idris

Masa Membaca:59 Saat

BUKIT PALAH 8 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil beberapa maklumat dan melihat dokumen berkaitan isu royalti pasir daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron semalam.

Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad berkata, perjumpaan selama dua jam bermula 3 petang itu dibuat di sebuah lokasi di Melaka.

“Saya mengesahkan kita dah berjumpa beliau (Idris) dan mengambil beberapa maklumat secara lisan dan melihat dokumen.

“Maklumat telah dihantar ke Ibu Pejabat SPRM untuk dianalisa dan diperincikan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Solat Jumaat Sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke 54 bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’ di Masjid Al Azim di sini sebentar tadi.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu memandang serius dakwaan Idris berhubung isu membolot projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

Sehubungan itu, badan pencegahan rasuah itu meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama.

SPRM juga akan menghantar pegawai untuk mengadakan perjumpaan dengan Idris bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1228
Kongsi :
Previous post Melaka capai lebih 90 peratus vaksinasi dewasa hari ini – Rahmad
Next post ‘Maafkanlah saya’ – Sulaiman
Ubah saiz-+=