RTB Sungai Rembau bakal kurangkan banjir Taboh Naning, Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SERI NEGERI 15 Mac – Masalah banjir yang kerap melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning dan Ayer Limau boleh dikurangkan menerusi pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Rembau.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat permohonan bagi pembinaan RTB itu dalam Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan kos berjumlah RM453.6 juta.

“Objektif projek RTB ini adalah bukan sahaja mengurangkan banjir di kawasan Rembau, Negeri Sembilan, tetapi juga membantu kawasan yang sering terjejas seperti Kampung Melekek, Brisu, Kampung Solok Kemus, Pekan Lubok China, Paya Lebar, Sungai Siput dan lain-lain.

“Ini merupakan perancangan jangka panjang untuk mengatasi banjir di dua DUN ini, dan bagi projek jangka pendek, ia melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan atau naik taraf sungai, longkang dan jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada hari ketiga Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan, sepanjang tahun lalu, sejumlah RM4.9 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja mengatasi banjir di DUN Taboh Naning.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post Pusat data di Ayer Keroh dalam peringkat rata tanah
Next post TMM2024: Pastikan produk pelancongan Melaka bertaraf lima bintang
Ubah saiz-+=