Pusat data di Ayer Keroh dalam peringkat rata tanah

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 15 Mac – Pembinaan sebuah pusat data di Ayer Keroh yang dikenal pasti sebagai projek pelaburan baharu Melaka kini dalam peringkat kerja tanah.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan bertanggungjawab memberi galakan seterusnya mengawal selia projek pelaburan dari syarikat yang berpengkalan di Hong Kong tersebut.

Katanya, projek tersebut akan memberi pulangan kepada rakyat di negeri ini dalam bidang teknologi maklumat.

“Saya telah dijemput untuk membuat penilaian awal pada Disember lalu bagaimana syarikat ini bersedia melabur dan pihak MIDA sedang memberi galakan untuk mereka malah sebidang tanah telah dibeli syarikat berkenaan.

“Kerja-kerja tanah saya difahamkan telah melebihi 50 peratus untuk meratakan tapak tersebut, sekiranya proses galakan daripada MIDA berjalan dengan lancar ia akan memberi pulangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil), berkenaan Amazon Wealth Services memilih lokasi di negeri lain membuat pelaburan, pada hari ketiga Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya sehingga Disember 2022, Melaka mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM8.5 bilion merangkumi pelaburan domestik dan asing.

“Kedua-dua kategori ini terbahagi kepada sektor pembuatan, pertanian, komoditi dan perkhidmatan manakala sektor yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi adalah daripada sektor pembuatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1166
Kongsi :
Previous post Melaka angkat polisi wajibkan AED di setiap premis
Next post RTB Sungai Rembau bakal kurangkan banjir Taboh Naning, Ayer Limau
Ubah saiz-+=