Melaka angkat polisi wajibkan AED di setiap premis

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 15 Mac – Satu polisi untuk mewajibkan pemasangan alat defibrilator luaran automatik (AED) di setiap premis bakal diangkat oleh Jawatankuasa MyHeart Negeri Melaka.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, menerusi polisi itu semua premis seperti bangunan kerajaan, pusat beli-belah dan hotel wajib menyediakan AED dalam usaha menyelamatkan nyawa kakitangan mahupun orang awam mengalami serangan jantung.

Menurutnya, pemasangan AED disifatkan amat penting memandangkan kebarangkalian alat itu membantu menyelamatkan nyawa ialah 90 peratus.

“Kita melihat jika tiada polisi, maka sukar untuk kita memohon agensi atau mana-mana premis menempatkan pemasangan AED secara sukarela. Jadi polisi ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk buat ketetapan bahawa AED ini di bangunan, premis, mahupun ‘hotspot’ awam.

“Pemasangan ini juga penting memandangkan Melaka merupakan negeri pelancongan. Jadi sudah tentulah kita perlu memastikan keselamatan pelancong, sekali gus membuatkan mereka sedar bahawa Melaka sebuah negeri yang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Leng Chau Yen (DAP-Banda Hilir) pada hari ketiga Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, bagi memastikan AED yang dipasang tidak menjadi sasaran vandalisme, Jawatankuasa MyHeart bercadang untuk meletakkan alat itu di lokasi dalam jangkauan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).

“Selain itu, kita juga meminta AED dipasang di lokasi orang awam kerap lalu-lalang supaya ia mudah digunakan apabila berlaku serangan jantung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1938
Kongsi :
Previous post Melaka tidak terima telur dari India
Next post Pusat data di Ayer Keroh dalam peringkat rata tanah
Ubah saiz-+=