Sorting by

×

RUKUN NEGARA ‘KOMPAS MORAL’, PEDOMAN BANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 11 September – Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bukan sekadar sebuah dokumen rasmi, tetapi menjadi kompas moral dan falsafah kebangsaan yang menyatukan rakyat berbilang bangsa.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ideologi dan falsafah nasional itu diwujudkan susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mencatatkan sejarah pahit buat negara.

Susulan itu, ujar beliau, selepas 55 tahun, Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Perpaduan Negara sentiasa berusaha untuk memperkukuh penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara, antaranya meluluskan cadangan agar lafaz ikrar Rukun Negara dibacakan secara penuh bermula dengan mukadimah bermula Julai 2023.

“Seterusnya, pada Ogos 2023, Kementerian telah melancarkan inisiatif Eksplorasi Rukun Negara sebagai usaha mendekatkan nilai-nilai tersebut kepada rakyat.

“Malah, pada Februari 2024, buat julung kalinya ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah bersama-sama melafazkan ikrar Rukun Negara, sekali gus mencatat sejarah penting dalam menzahirkan komitmen kepimpinan negara terhadap falsafah kebangsaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Pertandingan akhir itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Profesor Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta lain-lain kenamaan.

Menurut Aaron, selain memperkasakan Rukun Negara di peringkat kerajaan, penjawat awam dan rakyat, fokus utama pihaknya kini turut terarah kepada generasi muda kerana merekalah pewaris masa depan negara.

Justeru, ujar beliau, pihak kementerian telah melaksanakan pelbagai program seperti Gerak Integrasi Perpaduan, Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Citra Negaraku, Arkib@Sekolah dan Program Bermalam di Muzium khusus untuk generasi muda.

“Ini adalah antara usaha untuk memupuk semangat patriotisme, memperkukuh jati diri, serta menanam nilai perpaduan sejak di bangku sekolah,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post PESERTA PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA MELONJAK TIGA KALI GANDA
Next post TAMBAHAN HADIAH, INSENTIF JADI ‘OBOR’ SEMANGAT NYALAKAN PRINSIP RUKUN NEGARA