Rumah pusaka dijilat api, wang simpanan RM800 hangus

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 18 November – Seorang bapa tunggal bersama dua anaknya bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang malah wang simpanan berjumlah RM800 turut hangus selepas rumah pusaka didiami mereka di Bukit Senjuang, di sini, musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.15 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Menurut mangsa, Abdul Wafi Rostam, 29, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia enam dan lapan tahun tiada dirumah.

“Ketika itu saya baru sahaja ambil anak dari rumah pengasuh dan dari jauh kelihatan asap dari arah rumah tetapi saya sangka ada jiran yang sedang membakar sampah.

“Tetapi sebaik tiba dihadapan rumah saya terkejut apabila melihat api sedang marak di dalam rumah lalu bergegas menelefon bomba bagi meminta bantuan,” katanya.

Dede20c9 3e00 41ab A688 E06472f4255d
Rumah pusaka dihuni Abdul Wafi yang musnah terbakar

Dia yang sudah menghuni rumah itu sejak 28 tahun lalu berkata, meskipun terdetik untuk masuk bagi menyelamatkan wang simpanannya namun tidak berani kerana api marak begitu cepat selain fikirkan faktor keselamatan.

“Kami memang tinggal sehelai sepinggang, baju anak-anak termasuk baju sekolah dan buku mereka semua tidak dapat diselamatkan.

“Malah wang yang saya kumpul sebanyak RM800 untuk perbelanjaan anak-anak turut hangus begitu juga dokumen pengenalan diri. Walaupun masih terkejut namun saya syukur kejadian tidak membabitkan anak-anak,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kimpalan.

Abdul Wafi berkata, dia belum dapat membuat anggaran sebenar kerugian malah amat berharap akan ada bantuan untuk membaik pulih kediamannya itu.

“Saya memang tidak mampu dengan pendapatan yang tidak seberapa tetapi urusan baik pulih rumah ayah saya akan cuba usahakan dengan pihak yang berkaitan.

“Malah semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman ada datang serta menghulurkan  bantuan malah untuk sementara waktu ini kami tinggal sementara di rumah tumpangan MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) di Permatang Pasir,” katanya. 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1140
Kongsi :
Previous post Bandaraya Melaka semakin bersih, aduan menurun
Next post Dulu ‘pilot’ darat, kini usahawan keli
Ubah saiz-+=