Sorting by

×

Dulu ‘pilot’ darat, kini usahawan keli

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

ASAHAN 18 November – Bermula dengan kerjaya sebagai pemandu lori, seorang anak muda memberanikan diri meneroka bidang ternakan ikan keli di Batang Melaka bagi meningkatkan pendapatannya di usia muda.

Abdul Hakim Mohamad, 25, memulakan langkah menceburi bidang ternakan ikan itu dengan menggunakan simpanan gajinya untuk membeli 100 ekor anak ikan keli dengan harga RM0.20 seekor pada ketika itu.

Daripada suka-suka, siapa menyangka penternakan itu mula berkembang hingga dia kini berjaya menternak ribuan ekor ikan keli.

“Ketika berumur 21 tahun saya sudah bekerja sebagai pemandu lori, waktu itu bila ada gaji asyik fikir untuk berseronok dan ketika itulah ibu saya mencadangkan agar saya menternak ikan di kolam kerana sebelum ini pun saya memang berminat dengan ikan.

“Jadi, tahun 2021 saya beli 100 ekor anak ikan sebagai permulaan, tetapi lama kelamaan saya rasa tidak cukup jadi saya tambah sampai mencecah 1,000 ekor anak ikan keli.

“Biarpun waktu itu harga seekor anak ikan mahal sedikit sebab saya ambil dalam kuantiti tidak banyak, tetapi saya jadikan ia sebagai cabaran untuk memulakan langkah menternak ikan keli,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Keli 6
PENTERNAKAN ikan keli memiliki potensi besar selain mampu menjana pendapatan lumayan (Gambar Hiasan). Kredit: Sumber Facebook

Abdul Hakim berkata, selepas melihat kejayaan pada fasa permulaan, dia enggan menoleh ke belakang kerana melihat sendiri potensi dalam bidang penternakan ikan keli di negara ini.

Katanya, ia berikutan permintaan terhadap bekalan ikan air tawar itu semakin meningkat dari hari ke hari.

“Daripada langkah pertama itu saya mula belajar penternakan ikan untuk menjana pendapatan.

“Kebiasaannya, ikan keli jika diternak di dalam kolam tanah, tempoh matangnya adalah sekitar dua bulan setengah dan selepas itu ia sudah boleh dijual. Tetapi untuk mendapatkan hasil yang baik, kita kena tahu pelbagai aspek termasuklah cara penjagaan, penggredan, saiz, waktu beri makan dan lain-lain lagi. .

“Untuk seekor ikan keli yang mencecah berat 200 gram seekor ia biasanya boleh dijual pada harga RM10 sekilogram di pasaran,” katanya yang turut menjual bekalan di Johor dan Negeri Sembilan, selain pasaran Melaka.

Keli 3
KOLAM ternakan keli miliknya di Batang Melaka, Asahan.

Anak keempat dari sembilan beradik itu juga berhasrat mahu terbang lebih tinggi dengan menyasarkan peningkatan jualan sehingga satu tan seminggu pada tahun-tahun mendatang,

“Alhamdulillah setakat ini saya sudah ada empat kolam tanah ternakan ikan keli, ini juga hasil sokongan ibu bapa selain mendapat bantuan peralatan dan makanan daripada Jabatan Perikanan Melaka.

“Dengan kolam yang ada, kini ternakan ikan keli saya sudah mencecah sebanyak 40,000 ekor, jadi saya harap selepas ini setiap minggu saya dapat meningkatkan jualan hingga satu tan.

“Cuma modal untuk membeli dedak untuk menyediakan makanan ikan keli sedikit mahal, satu beg dedak beratnya adalah 20 kilogram dan harga setiap beg ini adalah RM71. Itu adalah cabaran tapi ia bukan pelemah semangat untuk saya terus maju,” katanya.

Pada Ogos lalu, kolam ternakan Abdul Hakim turut dikunjungi Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1873
Kongsi :
Previous post Rumah pusaka dijilat api, wang simpanan RM800 hangus
Next post 233 sekolah di Melaka sedia jadi pusat pemindahan
Ubah saiz-+=