233 sekolah di Melaka sedia jadi pusat pemindahan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 18 November – Sebanyak 233 buah sekolah di Negeri Melaka sedia dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin berkata, kesiapsiagaan itu dilakukan memandangkan negara kini sedang melalui fasa permulaan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Katanya, persediaan awal amat penting bagi memastikan bencana yang berlaku setiap kali hujung tahun itu tidak menjejaskan anak-anak yang masih bersekolah.

“Berdasarkan pengalaman kita yang lalu, kesemua sekolah yang dijadikan PPS akan dipastikan berada dalam keadaan baik bagi membolehkan ia sedia menerima mangsa-mangsa bencana pada bila-bila masa.

“Sekiranya bencana itu berlaku ketika sesi persekolahan masih berlangsung, kita telah berbincang dengan pihak keselamatan negeri untuk mengaktifkan sekolah rendah dahulu untuk dijadikan PPS, berbanding sekolah menengah.

“Ini memandangkan sekolah menengah masih mempunyai pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kita tidak mahu ia mengganggu atau menjejaskan pelajar-pelajar ini,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Photo1699423310
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin. Foto: MR. AZLI

Dalam perkembangan lain, Karim memaklumkan kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah akibat ribut Oktober lalu kini masih dalam proses pembaikan.

Katanya, pembaikan bumbung sekolah berkenaan menerusi peruntukan kecemasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencapai kemajuan hampir 50 peratus.

“Sekiranya mendapat pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya mengatakan sekolah itu selamat, kita akan membenarkan lebih ramai pelajar melalui sesi pembelajaran secara bersemuka berbanding kaedah penggiliran dan pembelajaran secara dalam talian yang digunakan kini.

“Apapun, kita percaya segala kerja pembaikan sekolah ini selesai ketika pembukaan sesi persekolahan tahun depan iaitu pada Mac,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1244
Kongsi :
Previous post Dulu ‘pilot’ darat, kini usahawan keli
Next post RM57.695 juta bangunkan fasiliti, prasarana bahagian udara bomba
Ubah saiz-+=