Rumah terbuka pupuk perpaduan, kebersamaan kaum

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 Februari – Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka 2024 di Jonker Walk, di sini, menterjemahkan mesej perpaduan dan kebersamaan kaum.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, ia selepas majlis itu dibanjiri lebih 30,000 masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Majlis itu juga ujarnya, menghangatkan lagi kemeriahan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) apabila turut disertai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita dapat lihat bahawa setiap perayaan menjadi medan memupuk semangat perpaduan antara kaum dan ini terbukti apabila rumah terbuka ini menerima sambutan luar biasa.

“Bukan sahaja masyarakat Cina, tetapi Melayu, India dan pelbagai etnik lain turut bersama meraikan sambutan ini serta menunjukkan sokongan kepada Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, sambutan ini turut memberi tempias kepada peniaga dan penjaja di sekitar Jonker Walk apabila Kerajaan Negeri menyediakan kupon kepada pengunjung dan mereka boleh berbelanja di sepanjang gerai yang ada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka di Jonker Walk, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Roslan Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Menurut Hee Sem, selepas Tahun Baru Cina, Kerajaan Negeri akan turut menganjurkan rumah terbuka secara besar-besaran bagi perayaan-perayaan lain, antaranya Hari Raya Aidilfitri pada April depan.

“Kita jangkakan sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri nanti juga akan berlangsung lebih meriah yang mana Ketua Menteri dijangka akan menampilkan idea-idea baharu berkait dengan pelancongan.

“Apa yang pasti, ia akan lebih meriah dan mampu menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong, selain meraikan rakyat Melaka berbilang kaum, agama dan bangsa,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

610
Kongsi :
Previous post Melaka gamit lebih 150,000 pengunjung pada 20 Februari
Next post SMK Seri Duyong siap Mac ini
Ubah saiz-+=