Sorting by

×

RUMAH TRANSIT DUN DUYONG BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DUYONG 18 Julai – Inisiatif Rumah Transit membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat yang ditimpa musibah khususnya sentiasa terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, Rumah Transit Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bakal memberi manfaat penduduk DUN itu yang memerlukan perlindungan bersifat sementara.

Mohd  Noor Helmy berkata, bagi meringankan lagi beban individu atau keluarga ditimpa musibah atau ujian Rumah Transit ditawarkan secara percuma.

“Rumah Transit siap dibina September tahun lalu dan penyerahan kepada Japerun Duyong adalah sebagai langkah penting dalam memastikan Pengurusan kemudahan untuk rakyat ini dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.

“Rumah ini bukan sahaja dilengkapi pelbagai keperluan asas, malah kos bil utiliti ditanggung sepenuhnya oleh Japerun ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap beban ditanggung rakyat.

“Namun begitu penggunaan rumah ini bersifat sementara, kebiasaan sehingga tempoh satu bulan sahaja, malah penginapan disediakan Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) ini juga bertujuan untuk memberi sokongan emosi kepada mereka berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Transit DUN Duyong, bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong, semalam.

Terdahulu, turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin.

Mohd Noor Helmy berkata, melihat kepada keperluan, pihaknya kini dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah lagi Rumah Transit di tapak terletak berhampiran.

“Kita melihat ada keperluan Rumah Transit, oleh itu kita bercadang untuk memohon dan menjadikan Rumah Mesra Rakyat yang terletak dalam kawasan pengambilan tanah bagi pembinaan Klinik Kesihatan Duyong untuk dijadikan Rumah Transit yang kedua.

“Kita akan usulkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk benarkan kita menggunakan premis itu sebagai Rumah Transit Sementara sehingga pembinaan Klinik Kesihatan Duyong dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post PENYERAHAN DOMAIN@MELAKA TUNGGU SELESAI PROSES DIGITALISASI
Next post SEMBILAN PROJEK BAHARU DAN NAIK TARAF JALAN ATASI KESESAKAN DILULUSKAN